Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, Superintenden Mazelan Paijan berkata, suspek yang merangkumi dua wanita dan dua lelaki tempatan termasuk pasangan suami isteri, ditahan dalam tempoh empat hari bermula Isnin lepas.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan pada Isnin melibatkan pasangan suami isteri di Bukit Jelutong dan siasatan mendapati wanita berusia 30 tahun itu adalah dalang utama sindiket manakala suaminya, 31, membantu kegiatan tersebut.

Individu bergelar ‘Datuk Wira’ berumur 47 tahun itu pula ditahan pada Rabu di Puchong manakala suspek wanita berumur 30 tahun diberkas di Kajang sehari kemudian.

“Kedua-duanya bertindak sebagai ‘orang kanan’ sindiket,” kata beliau dalam sidang media, di sini hari ini.

Mazelan berkata, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak Ogos 2015 dan berselindung di sebalik syarikat berdaftar milik dalang utama yang menjalankan perniagaan kosmetik dan jamu di Taman Melawati, dekat sini.

Katanya, kegiatan sindiket itu terbongkar susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang mangsa di Kajang yang sebelum ini bertindak sebagai ejen pengumpul dana daripada 40 mangsa.

“Kutipan wang itu kononnya untuk dilabur dalam projek tersebut. Mangsa bagaimanapun curiga apabila wang RM1.7 juta yang dikumpul dan diserahkan untuk pelaburan tidak memberi keuntungan seperti yang dijanjikan.

“Malah semakan dengan kementerian terlibat juga menunjukkan tiada kontrak seumpama dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata polis percaya mangsa sindiket itu melebihi 1,000 orang melibatkan penduduk luar bandar di negeri-negeri pantai timur dan Selangor termasuk mereka yang berpangkat ‘Datuk’.

“Setakat ini, berdasarkan rekod yang disimpan suspek, jumlah kerugian mangsa dianggarkan kira-kira RM55 juta namun kita yakin masih ada pihak yang belum membuat laporan.

“Jadi kita anggap jumlah mangsa dan nilai kerugian akan meningkat apabila lebih ramai tampil mengemukakan bukti penipuan ini,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menyakinkan mangsa mereka mengalami kekangan modal untuk meneruskan projek selain menawarkan keuntungan antara 30 dan 50 peratus kepada pelabur.

Bagi menyokong penipuan itu, anggota sindiket menunjukkan dokumen penyerahan pakaian seragam tentera palsu yang kononnya diterima daripada Kementerian Pertahanan kepada mangsa, katanya.

Mazelan berkata, polis kini mengesan tujuh lagi individu berusia antara 28 dan 55 tahun berkaitan kes itu.

Selain itu polis turut merampas dua kereta mewah dan mengesan lapan lagi kenderaan yang dipercayai dibeli menggunakan duit hasil penipuan tersebut.

“Kita juga percaya sindiket ini ada membuat pembelian hartanah namun mereka menggunakan taktik guna nama saudara mara untuk berselindung daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, keempat-empat suspek direman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

Sumber Utusan Malaysia

Masyarakat kita memang ada banyak kes penipuan yang berterusan. Malah ada yang terkena berkali-kali tidak serik dengan penipuan yang ada. Lepas hilang duit di skim A, masuk pula skim B kononnya untuk menyelesaikan masalah sebab skim A. Bila skim B pun melingkup, masuk lagi Skim C. Semua nak kaya cepat tanpa usaha.

Selagi ada permintaan, skim ini akan  terus wujud dengan pelbagai nama dan pelan pemasaran yang orang biasa pun pening tengok. Portal iklan la, e-curency dengan teknologi blockchain la… Ini ini ramai yang tak tahu tentang jargon atau perkataan yang pelik sebegini. Yang mereka tahu, masuk mereka dapat duit.

Akhirnya semua terkubur sebagai mana skim baju celoreng yang sensasi sehari dua ini. Seminggu lepas ini orang akan mula lupa dan akan muncul skim baru yang akan mencari mangsa. Semakin teruk ekonomi, makin banyak skim akan muncul mencari mangsa dan mengambil kesempatan diatas kesempitan orang ramai.

Jauhi skim yang anda sendiri tak tahu yang menjadikan pulangan yang tidak masuk akal. Modal RM100 jadi RM1000. Modal RM350 jadi RM700 dalam masa 3 bulan. Kaji sedalam dalamnya sebelum memasukkan duit anda ke dalam mana mana skim.

Lindungi ahli keluar anda dari skim cepat kaya. Nak kaja, usaha dan tawakal. Bukan masuk skim cepat kaya.

p/s: Boleh share jika anda rasakan ia bermanfaat kepada anda, keluarga dan rakan-rakan anda.