Pagar cyclone kini antara pagar kebun yang mendapat perhatian pengusaha kebun. Ia lebih murah berbanding dengan pagar chainlink. Harga chainlink adalah sekitar rm150 bagi 15 meter manakala harga bagi pagar jenis cyclone adalah RM340 bagi 50 meter. Ini adalah berdasarkan harga yang saya dapati di shopee. Namun apa yang saya nak kongsikan dalam post kali ini ialah penjimatan diantara pagar elektrik dan juga cyclone untuk kebun. Teruskan membaca…
Bagaimana pula dengan pagar elektrik?
Dari segi penjimatan, pagar elektrik lebih murah. Dari segi ketahanan, pastinya pagar cyclone lebih tahan lama. Namun bagi mereka yang ada bajet yang terhad, pagar elektrik boleh jadi satu pilihan yang terbaik. Salah satu sebabnya kosnya lebih murah. Yang kedua, ia agak mudah dipasang.
Dari segi kelemahan pagar elektrik, ia mudah putus jika dirempuh kuat oleh babi yang otai. Alternatif boleh guna dawai jenis heavy duty untuk ketahanan. Kelemahan lain ialah kecurian terutamanya bateri untuk tenaga solar. Kecurian ini yang menjadi kelemahan terbesar. Berkenaan rempuhan kuat ini jarang berlaku kerana kebiasaaan babi hutan berjalan je. Kecuali ada sesuatu yang mengejar daripada belakang seperti anjing mahupun harimau. Ia jarang membuat rempuhan.
Jika ia hanya berjalan, jika terkena renjatan. Ia akan beredar pergi. Sebab itulah ia menjadi pilihan ramai pekebun untuk melindung kebun mereka. Tiang juga boleh gunakan paip pvc sahaja berbanding dengan cyclone yang memerlukan tiang yang kukuh seperti kayu dan juga tiang simen. Selain itu boleh juga juga besi C channel sebagai tiang (Saya guna ini).
Namun harga tiang besi pun sudah melambung tinggi sekarang. Kalau di sekitar kebun ada banyak pokok, boleh la tebang untuk dijadikan tiang.
Kelebihan Pagar Elektrik
- Murah
- Mudah di pasang
- Perlindungan daripada haiwan perosak yang memanjat
- Sesuai untuk pelbagai mukabentuk bumi dan tidak rata
Kelemahan
- Risiko kecurian terutamanya bateri
- Tidak tahan lama
- Dawai mudah putus jika dirempuh kuat oleh haiwan
- Arus elektrik berkurangan jika dawai tersentuh semak samun
Bagaimana pula dengan pagar jenis Cyclone ini?
Pagar cyclone ini baru popular. Kebiasaanya ia digunakan dalam penternakan rusa dan sebagainya. Ia terdapat 2 jenis ikatan iaitu Fastlock dan juga Gridlock. Bagi fastlock, ia ikatan biasa. Simpul gitu je. Manakala bagi gridlock, ia ikatan mati. Dari segi harga, fastlock lebih murah berbanding gridlock.
Nak pilih mana satu? Ikut bajet anda lah. Kalau ada lebih bajet, ambik gridlock kerana ia lebih kukuh. Kelemahan fastlock, pada simpulan masih boleh bergerak gerak. Tapi ia masih boleh berikan perlindungan yang baik untuk kebun anda. Jadi dengan gridlock, ia kukuh tidak bergerak simpulannya. Namun, ia masih murah berbanding dengan jenis chainlink.
Setiap gulung pagar cyclone ini adalah 50 meter. Jadi anda memerlukan 5 gulung untuk satu ekar tanah. Saya ada gunakan pagar ini untuk sekitar rumah dan kawasan ternakan kelulut saya. Jadi ia agak kukuh. Setakat ini, babi hutan belum berjaya masuk. Namun, kera masih boleh masuh dan membuat onar kat pokok dan buah.
Kelebihan Pagar Cyclone
- Murah
- Kukuh
- Tahan lama
Kelemahan
- Perlu tiang yang banyak dan kuat
- Tiada perlindungan untuk haiwan yang memanjat
- Agak mencabar juga ketika memasang.
- Kurang sesuai untuk kawasan tidak rata
Jadi apa yang jadi pilihan anda?
Bagi saya, ia ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Namun, bergantung kepada bajet anda. Di kebun saya, masalah utama ialah babi hutan dan kera. Bagi saya, pagar elektrik adalah penyelesaian paling sesuai untuk perlindungan kebun saya. Namun yang mengusarkan saya ialah masalah kecurian. Penagih dadah sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan sedikit wang.
Untuk kebun kelapa dan durian, saya memilih pagar elektrik sebab kos lebih rendah. Kalau ada bajet lagi nanti, barulah boleh guna kedua dua jenis pagar.
Kita ikhtiar dan berdoa sahaja. Semoga yang kita usahakan ada hasil.

Incoming search terms:
- https://www shamsuriyadi com/kebun/pagar-cyclone-atau-pagar-elektrik-lebih-jimat/