Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd Diserbu BNM


Hanya untuk berkongsi berkenaan sebuah syarikat yang menawarkan pelaburan emas diserbu pihak berkuasa. Mereka menawarkan dividen tetap setiap bulan kepada pelabur mereka.

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Sebuah syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. yang dipercayai menjalankan urus niaga bernilai kira-kira RM4 bilion termasuk melibatkan pelaburan kerajaan negeri dan orang kenamaan (VIP) diserbu pihak berkuasa hari ini.

Serbuan itu dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Difahamkan, siasatan dan serbuan terhadap syarikat itu yang terletak di Jalan Kuchai Lama di sini dilakukan setelah beberapa pelabur yang menjadi mangsa tampil membuat laporan polis baru-baru ini.

Sumber memberitahu, syarikat berkenaan sebelum ini pernah terlibat memperdayakan pelabur melalui skim pelaburan berbentuk piramid.

Menurutnya, syarikat itu bagaimanapun ditutup dan pemiliknya menghilangkan diri selepas kegiatan mereka terbongkar.

“Bagaimanapun, pemilik syarikat sama dipercayai kembali menubuhkan syarikat pelaburan baru menggunakan nama lain untuk memperdayakan pelabur.

“Kali ini, syarikat berkenaan menawarkan pelaburan emas bagi menarik pelabur yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kerajaan negeri, VIP dan artis,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ada beberapa mangsa sanggup membuat pelaburan mencecah jutaan ringgit kerana dijanjikan pulangan yang lumayan.

Difahamkan, selain menawarkan pelaburan kepada rakyat tempatan, syarikat berkenaan turut mempunyai cawangan di Singapura dan memperdayakan pelabur di negara jiran itu.

Menurut sumber itu, aktiviti penipuan pelaburan emas itu berkembang luas di seluruh negara tetapi laporan polis paling banyak diterima daripada mangsa di Perak.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan di sini memaklumkan bahawa satu operasi serbuan telah dilakukan hari ini terhadap Genneva Malaysia Sdn. Bhd.

Menurut kenyataan itu, syarikat tersebut dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh agensi-agensi penguat kuasa berkenaan.

“Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura juga telah mengambil tindakan yang sama ke atas Genneva Pte. Ltd. di republik itu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melabur wang mereka bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Pada Mei lalu, sebuah akhbar melaporkan transaksi jual beli dan pelaburan emas syarikat Genneva Malaysia didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan hukum syariah dan undang-undang negara.

Ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin.

Pada 1 Ogos lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis terhadap syarikat pelaburan emas itu yang didakwa menjalankan urus niaga syariah tidak mematuhi keputusan muzakarah itu.

Sementara itu, kira-kira 400 pelabur dan juru runding syarikat itu berkumpul di hadapan pejabat syarikat tersebut sejak petang ini selain terkejut dengan serbuan pihak berkuasa.

Mereka tidak berpuas hati dengan tindakan itu kerana mendakwa syarikat berkenaan beroperasi secara sah dan tidak pernah menipu pelanggan sejak ditubuhkan pada tahun 2010.

Seorang jururunding yang ditemui Mohd. Sani Royan, 52, berkata, urusan perniagaan di syarikat pelaburan tersebut berjalan lancar sejak dua tahun lalu sebaik sahaja dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, malah urus niaga pelaburan emas di syarikat tersebut adalah berdasarkan syariah supaya orang Islam boleh melabur emas dalam bentuk jongkong dan tablet.

“Saya yakin syarikat ini adalah betul dan membawa keuntungan berpatutan kepada pelabur termasuk saya yang merupakan seorang pesara kerajaan.

“Kami sebenarnya menjadi mangsa pesaing dari syarikat lain yang cemburu dengan kejayaan syarikat ini,” katanya.

Ini pula berita yang diterbitkan oleh Berita Harian:

50,000 pelabur terjerat

Kuala Lumpur: Lebih 50,000 pelabur sebuah syarikat pelaburan dan perdagangan emas terjerat apabila tiga pejabat Genneva Malaysia Sdn Bhd di Jalan Kuchai Lama di sini, diserbu pihak berkuasa, petang semalam.

Syarikat itu difahamkan sudah terbabit dalam perdagangan emas membabitkan lebih RM5 bilion sejak 2007.

 

Bank negara serbu

 

Serbuan dibuat Bank Negara Malaysia (Bank Negara), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jam 2 petang.

Serbuan serentak turut dilakukan Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura ke atas Genneva Pte Ltd di republik itu.

Dalam serbuan di sini, pihak berkuasa merampas beratus-ratus kotak berisi dokumen urus niaga membabitkan transaksi jual beli emas, komputer, kepingan emas dan sejumlah wang tunai.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 dan Seksyen 4 (1) Akta Pengubahan Wang Haram Mengikut laporan sebelum ini, orang kenamaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ahli perniagaan adalah antara pelabur syarikat berkenaan.
Menurut kenyataan bersama dikeluarkan semua agensi terbabit dalam operasi itu semalam, syarikat berkenaan diserbu kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh semua agensi berkenaan.

Sementara itu, sumber berkata, siasatan sedang dibuat sama ada syarikat pelaburan emas yang menggunakan nama sama di Singapura ada kaitan dengan operasi Genneva di Malaysia.

Katanya, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan aduan diterima daripada orang ramai berhubung aktiviti syarikat itu.

Sumber itu memberitahu BH, syarikat berkenaan mula beroperasi sejak 2007 dan ketika itu didaftarkan sebagai Genneva Sdn Bhd serta pernah didakwa pada 2009.

“Selepas didakwa, syarikat itu didapati menukar namanya pada tahun lalu untuk meneruskan kegiatan mereka.

“Bank Negara dan semua agensi yang terbabit dalam serbuan ini (semalam) sedang menjalankan siasatan mengikut akta dan kesalahan di bawah bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Sementara itu, sehingga jam 10 malam tadi, beratus-ratus pelanggan Genneva Malaysia berkumpul di hadapan pejabat syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, kehadiran polis berjaya mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Berita Harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Klik Untuk Share..Semoga Bermanfaat Kat kawan Anda.

Leave a Reply

error: Content is protected !!

Kemaskini Terbaru Terus
Ke Emel Anda

Subscribe to our mailing list and get interesting stuff and updates to your email inbox.

Thank you for subscribing.

Something went wrong.