Ternakan kelulut merupakan antara ternakan semakin popular. Sebabnya ia mudah dan tidak perlu diberikan makanan. Apa yang perlu disediakan ialah persekitaran yang sempurna untuk perternakan lebah kelulut ini iaitu resin, nektar dan juga keselamatan.
sumber :astro awani
Jadi saya kongsikan pengalaman saya dalam penternakan kelulut ini. Ianya bermula pada tahun 2016 setelah anak saya mengalami alergik yang teruk kerana madu tiruan. Selepas itu, saya terus menyertai kursus ternakan lebah daripada Jabatan Pertanian Perak, dari situ saya bertemu ramai kawan-kawan yang telahpun bermula dan belajar daripada mereka.
Kawan-kawan inilah yang membentuk Persatuan Penternak dan Pengusaha Meliponikultur Perak atau dikenali sebagai 3PMP iaitu persatuan penternak kelulut negeri perak. Di sini ia menjadi tempat berkumpulnya penternak dari seluruh perak.
Resin/ Getah
Ia adalah kriteria paling utama. Jika kawasan ternakan tiada sumber resin atau getah, kelulut tidak dapat membuat binaan sarang dan kemungkinan besar akan mati. Jadi pastikan kawasan sekitar mempunyai pokok bergetah seperti nangka,cempedak, mangga, manggis dan pokok getah. Pokok akasia pun ada getah dan juga nektar.
Nektar
Nektar ialah manisan yang keluar pada bunga dan juga pada sesetengah pucuk pokok. Kalau bunga, kita semua tahu. Berkenaan pokok, ada sesetengah pokok yang turut mengeluarkan nektar atau manisan pada pucuk muda antaranya ialah getah, akasia dan gelam. Sebelum ada yang bertanya getah tu apa, pokok getah yang orang toreh tu la.
Kedua dua ini adalah asas penting dalam penternakan kelulut. Jadi pastikan dalam 500m sekitar, ada 2 jenis sumber berkenaan.
Keselamatan
Ini adalah keperluan luaran. Sarang kelulut merupakan barang panas di kalangan pencuri. Jadi pastikan ianya selamat daripada pemerhatian pencuri. Malah saya sendiri 5 sarang pernah dicuri tetapi 1 berjaya dijumpai kembali dengan adanya jaringan penternak di sekitar.
Yang sering menjadi perhatian ialah log atau sarang kelulut yang bersaiz kecil dan mudah untuk diangkut dengan motosikal. Malah ada ketika saya pulang ke kampung, kereta pacuan 4 roda pun pernah cuba mencuri, namun tidak berjaya kerana jiran saya perasan ada kenderaan yang menyuluh ke kawasan ternakan saya. Jiran saya menyuluh lampu ke kenderaan mereka, mereka pun beredar dengan cepat. Alhamdulillah semuanya selamat.
Sekarang ini kawasan ternakan sudah berpagar dan berpagar elektrik. Silap pegang boleh kojol terus..hahaha
Selain itu masalah keselamatan lain ialah daripada serangan haiwan liar seperti beruang, beruk dan monyet. Di tempat saya, ada banyak beruk dan monyet. Itulah faktor utama saya memasang pagar elektrik itupun setelah 8 sarang telah musnah sepenuhnya. Inilah cabarannya.
Kembali kepada topik utama iaitu Geran Kerajaan. Ia adalah bantuan jenis geran, tidak perlu bayar balik. Walau bagaimana pun, perlu mula dahulu sebab geran ini adalah geran pengembangan. Ia untuk membesarkan lagi projek sedia ada.
Geran Agroprenuer Muda (GAM)
Ia merupakan geran yang bermula di zaman PM Najib dulu. Ia masih diteruskan sehingga sekarang. Dahulunya geran ini berjumlah RM15,000 dan kini telah dinaikkan kepada RM20,000 bagi mereka yang berusian 18 ke 40 tahun sahaja. Lebih umur, tak dapat mohon. Jika terlebih, boleh la guna nama anak-anak dalam lingkungan usia tu.
Syaratnya perlu berkursus dalam penternakan kelulut dan ada sijil daripada Jabatan Pertanian atau MARDI. Jadi anda boleh mohon menerusi 3 agensi iaitu Jabatan Pertanian Daerah, MARDI dan juga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Selepas ada sijil, boleh minta borang kat 3 Agensi berkenaan. Kena buat kertas kerja untuk permohonan ini. Jangan risau, anda boleh dapatkan kat Sini. Ia adalah kertas kerja saya, anda boleh edit letak nama anda.
layari>> https://www.kpkm.gov.my/agropreneur-muda
Geran Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) RISDA
RISDA merupakan antara agensi yang banyak membantu pekebun kecil dan anak pekebun kecil dalam meningkatkan pendapatan petani. Geran ini terbuka untuk pekebun kecil dan anak pekebun kecil sahaja. Kena ada tanah yang berdaftar dengan RISDA yang terlibat dalam tanaman getah. Kalau takde, tak boleh mohon.
Saya dapat RM13,000 daripada RISDA iaitu AET dan juga RESTART iaitu bantuan pasca Covid. Biasanya akan dapat dalam 16 sarang kelulut atau peralatan berkenaan seperti chainsaw, chiller, bengkel dan sebagainya. Bergantung kita nak mohon bantuan apa. Permohonan yang ni juga perlu buat kertas kerja juga. Boleh guna paperwork saya tu. Saya guna paperwork sama untuk dua permohonan..hahha
Bantuan ini sebanyak RM20,000 untuk setiap individu. Namanya Insentif Star Up & Nano
Bantuan Program Agromakanan Tanam Semula
Bagi mereka yang terlibat dan mendapat bantuan tanaman semula getah, mereka boleh mohon untuk bantuan ini. Ianya adalah untuk projek tanaman jangka pendek seperti sayur berdaun, buah buahan (nanas,pisang,betik), tanaman herba (serai,halia,kunyit),tanaman kontan (jagung,tebu) dan tanaman manakan ternakan (napier,buluh,jagung, bijian).
Bantuan adalah sebanyak RM6,000 seorang.
Untuk bantuan ini, boleh ke pejabat RISDA berdekatan dengan anda. Tanya pegawai di sana.
Bantuan Pembungkusan dan Perlabelan Produk
Dah ada produk, mesti nak kan pakaging yang lawa dan menarik. RISDA juga ada menyediakan bantuan ini. Namun setiap tahun terhad. Biasanya RM10,000 seorang. Ia adalah termasuk pendaftaran Trademark bagi brand anda.
Jadi akan ada beberapa sesi perundingan dalam mendaftarkan Tanda Dagang anda. Jika madu kelulut, mereka akan bagi stiker dan kotak. Produk hiliran lain pun boleh.
Untuk bantuan Risda, boleh ke pejabat risda daerah anda.
Geran Pemadanan (Rise-Up) PPK
Ini pula inisiatif daripada Pertubuhan Peladang Kawasan. Bantuan dalam bentuk pemadanan dengan peserta perlu sediakan 50% komitmen. Geran ini bernilai dari RM10,000 ke RM50,000 dengan komitmen 50:50. Kalau mohon 50K, kena sedia RM25K. Bukti komitmen tu perlu disahkan oleh pesuruhjaya sumpah.
Bantuan bukan dalam bentuk tunai tapi dalam bentuk peralatan, infrastruktur dan keperluan projek yang dilakukan. Ia termasuk dalam projek agropelancongan.
Jadi boleh jadi ahli Peladang di kawasan anda. Boleh pergi tanya dulu sambil ambil borang ahli.
Nak belajar ternak kelulut?
Layari je channel Ternakan Lebah dan Kelulut ni. Saya dah share banyak dalam channel Youtube tu.
Semoga bermanfaat. Boleh share untuk mereka yang berminat dalam bidang penternakan kelulut ni. Ada bantuan.Nak tak nak je mohon.